salinan semata2 : Ditulis oleh Kapten Hafiz Firdaus Abdullah |
Tuesday, 31 May 2011 |
Rasulullah pernah bersabda: “Tidak ada nikah kecuali dengan wali.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 2085] Apa yang baginda maksudkan dengan hadis di atas ialah, pernikahan adalah tidak sah tanpa izin wali. Hadis berikut memperincikan maksud hadis di atas: “Mana-mana wanita yang bernikah tanpa izin walinya maka pernikahan tersebut adalah batal (baginda mengulanginya tiga kali).” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 2083] Maksud wali dalam hadis-hadis ini ialah ayah wanita yang akan bernikah itu. Jika dua hadis di atas merujuk kepada anak perempuan, maka dua hadis berikut merujuk kepada anak lelaki pula. ‘Abd Allah ibn ‘Umar berkata: Aku pernah memiliki seorang isteri yang sangat aku cintai akan tetapi ‘Umar (bin al-Khaththab, yakni ayahnya) tidak menyukainya dan menyuruh aku menceraikannya. Namun aku enggan. Maka ‘Umar membawa hal ini kepada Nabi dan menceritakan apa yang berlaku. Nabi menjawab (kepada ‘Abd Allah ibn ‘Umar): “Ceraikanlah dia.”[Shahih Sunan Abu Daud, no: 5138] Dalam sebuah kes yang lain, Abu Darda’ berkata: Bahawa seorang lelaki datang bertanya: “Sesungguhnya aku memiliki seorang isteri akan tetapi ibu aku menyuruhku menceraikannya.” Abu Darda menjawab: “Aku mendengar Rasulullah bersabda, ibubapa adalah pintu syurga yang paling tengah. Terserah kepada kamu (seorang anak) sama ada untuk mensia-siakan pintu itu atau memeliharanya.” [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 1900] Hadis-hadis di atas jelas menunjukan kedudukan dan peranan ibubapa dalam pilihan calon pasangan bagi perkahwinan seorang anak. Secara lebih terperinci, hadis-hadis ini perlu dikupas dari dua sudut. Sudut Pertama: Ia adalah dari sudut keutamaan, dimana ia membuktikan betapa besar kedudukan dan peranan ibubapa terhadap kita sebagai anak sehingga ia juga menyentuh persoalan pasangan hidup. Memang, ibubapa tidak boleh memaksa kita berkahwin dengan pasangan yang tidak kita sukai. Akan tetapi pada waktu yang sama, kita juga tidak boleh memaksa ibubapa menerima menantu yang tidak disukai mereka. Ringkas kata, anak dan ibubapa tidak boleh saling memaksa dalam persoalan ini. Sebaliknya perlu sama-sama suka dan redha. Timbul persoalan, bukankah yang berkahwin ialah anak? Maka kenapa pula perlu mendapatkan izin dan redha ibubapa? Persoalan ini dapat dijawab seperti berikut: 1. Ibubapa adalah orang dewasa yang telah merasai asam garam kehidupan berumahtangga. Mereka memiliki pengetahuan yang luas, sama ada melalui pengalaman sendiri atau rakan-rakan, tentang apa yang dapat menjamin kebahagiaan rumahtangga dan apa yang tidak. Berbeza dengan kita sebagai anak-anak, yang dikenali hanyalah cinta. Lazimnya keputusan untuk berkahwin tidak didirikan atas apa-apa penilaian yang matang kecuali cinta semata-mata. Maka izin dan redha ibubapa adalah penting kerana ia dapat membantu dan membimbing kita membina rumahtangga yang berjaya. 2. Perkahwinan bukan sesuatu yang melibatkan pasangan suami isteri sahaja, tetapi ia juga melibatkan keluarga daripada kedua-dua pihak. Justeru izin dan redha ibubapa memainkan peranan yang penting dalam menjamin kebahagiaan dan kesinambungan hidup berumahtangga. 3. Mendapatkan izin dan redha ibubapa termasuk dalam keumuman sabda Rasulullah: “Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.” [Riwayat al-Tirmizi, Silsilah al-Ahadits al-Shahihah, no: 515] Maka jika kita ingin membina rumahtangga yang diredhai oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala, binalah ia dengan cara memperoleh keredhaan ibubapa terlebih dahulu. Sudut Kedua: Ia adalah dari sudut hukum fiqh, maka hadis-hadis di atas perlu dibaca bersama hadis-hadis yang melarang ketaatan dalam perkara maksiat. Ini kerana: “Sesungguhnya ketaatan tidak lain hanya dalam perkara ma’ruf (kebaikan yang selari dengan syari‘at Islam).” [Shahih al-Bukhari, no: 7145] Oleh itu pemahaman dan pelaksaan hadis-hadis di atas boleh dibahagikan kepada tiga suasana: Suasana Pertama: Apabila ibubapa enggan menerima calon pilihan kita berdasarkan alasan yang dibenarkan syari‘at. Contohnya ialah calon yang bukan beragama Islam dan dia memang tidak bercadang untuk memeluk Islam. Maka dalam kes ini ibubapa layak menegah kita daripada berkahwin dengan calon tersebut dan kita wajib mematuhinya. Suasana Kedua: Apabila ibubapa enggan menerima calon pilihan kita disebabkan alasan yang menyelisihi syari‘at. Contohnya apabila ibubapa enggan menerima calon isteri pilihan kita semata-mata kerana dia berpakaian menutup aurat, atau enggan menerima calon lelaki pilihan kita semata-mata kerana dia sering pergi solat berjamaah. Maka dalam kes ini ibubapa tidak sepatutnya menegah kita daripada calon tersebut. Akan tetapi ini tidaklah bererti kita boleh “kahwin lari”. Sebaliknya hendaklah kita berbincang dengan sopan dan hikmah bersama ibubapa agar mereka akhirnya bersetuju dengan calon pilihan kita. Suasana Ketiga: Kita dan ibubapa saling berselisih dengan masing-masing memiliki alasan yang harus di sisi syari‘at. Dua contoh yang lazim berlaku adalah: 1. Kita ingin berkahwin tetapi masih menuntut. Ibubapa tidak membenarkannya sehinggalah ditamatkan pengajian terlebih dahulu. 2. Calon lelaki pilihan kita tidak memiliki pekerjaan yang mampu menyara hidup. Bagi kedua-dua contoh di atas atau apa-apa yang seumpama, hendaklah kita berbincang dengan ibubapa untuk mencari jalan penyelesaian yang dipertengahan. Kebanyakan ibubapa akan bergembira untuk membantu dan memberi jalan penyelesaian yang terbaik jika kita sebagai anak-anak berbincang dengan mereka secara hormat, sopan dan hikmah. Kegagalan sering berlaku apabila anak-anak berkeras, membuat keputusan tanpa mempertimbangan pandangan ibubapa atau mungkin mengabaikan ibubapa secara keseluruhan dalam persoalan ini. Meski pun demikian, jika perbincangan tidak membuahkan hasil yang diingini, hendaklah kita mengalah kepada ibubapa. Hendaklah kita merenung kembali hadis-hadis yang dikemukakan dalam penulisan ini. Ketahui dan yakinilah bahawa apa yang ada di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala adalah jauh lebih baik daripada kekasih yang ada di hati. sumber : hafizfirdaus.com |
Thursday, 30 June 2011
PERKAHWINAN - ANTARA PILIHAN IBU BAPA DAN ANAK
CIRI-CIRI SUAMI PILIHAN
Ciri-Ciri Suami Pilihan. |
salinan semata2 : Ditulis oleh Kapten Hafiz Firdaus Abdullah |
Wednesday, 19 January 2011 |
Apakah ciri-ciri yang patut dicari dan dipertimbangkan oleh seorang wanita apabila dia ingin memilih calon suami? Berikut disenaraikan ciri-ciri yang penting, berdasarkan turutan kepentingannya. Pertama: Agama. Ciri pertama yang mesti diperhatikan ialah agama calon suami. Pastikan suami seorang muslim. Jika dia seorang bukan muslim, jemputlah dia ke arah agama Islam. Pastikan sebab utama dia memeluk Islam ialah kerana sayangkan Allah dan Rasulullah, bukan kerana sayangkan anda. Jika calon memang beragama Islam, maka langkah seterusnya ialah memerhatikan tahap keislamannya. Kita tidak mahu Islam yang biasa-biasa, tetapi muslim yang berilmu, beriman dan beramal shalih. Di sini calon suami bukanlah semestinya seorang ustaz berkelulusan jurusan agama. Akan tetapi dia hendaklah orang yang menaruh minat kepada Islam, berusaha untuk mendalami ilmu-ilmunya, rajin mengerjakan amal shalih dan menjauhi perkara mungkar. Ini penting kerana suami dipertanggungjawabkan untuk memelihara dirinya dan rumahtangganya dari api neraka. Allah berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka.” [al-Tahrim 66:06] Perkara penting untuk turut diperhatikan, jangan hanya harap suami memiliki nilai agama yang bagus. Anda juga sebagai isteri mesti memiliki nilai agama yang baik agar dapat memainkan peranan sebagai isteri yang berilmu, beriman dan beramal shalih. Tidak dilupakan, sebagai isteri yang dapat menasihati dan membetulkan suami. Ini kerana kaum muslimin (lelaki) dan muslimat (perempuan) sebenarnya saling membantu antara satu sama lain: Dan orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, sebahagiannya menjadi penolong bagi sebahagian yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. [al-Taubah 9:71] Kedua: Keluarga. Ciri kedua yang perlu diperhatikan ialah sikap calon suami kepada keluarganya, khasnya ibubapanya. Ini kerana Islam amat menekankan seorang anak untuk berbuat baik kepada ibubapanya. Rasulullah bersabda: “Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.” [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 1899] Maka calon suami itu jika dia memiliki kefahaman agama yang baik akan memastikan ibubapanya redha dan senang menerima anda sebagai bakal menantu. Jika tidak, dia akan bercakap dengan penuh hikmah dan hormat bagi menyakinkan ibubapanya menerima anda sebagai bakal menantu. Dia tidak akan membelakangkan ibubapanya kerana anda, dia tidak akan menderhakai ibubapanya kepada anda. Calon suami hendaklah pandai memainkan peranannya di jalan pertengahan di antara ibubapanya dan anda sebagai bakal isterinya. Di antara ayah dan ibu, seorang anak hendaklah mengutamakan ibunya berdasarkan sabda Rasulullah: “Sesungguhnya syurga terletak di bawah tapak kakinya (ibu).” [Shahih Sunan al-Nasa’e, no: 3104] Justeru perhatikan bagaimana layanan calon suami terhadap ibunya kerana ia memiliki kaitan yang amat kuat dengan bagaimana dia bakal melayan anda sebagai isteri. Seorang anak lelaki yang melayan ibunya dengan penuh keprihatinan besar kemungkinan akan melayan bakal isterinya dengan penuh keprihatinan juga. Seorang anak lelaki yang mengabaikan ibunya besar kemungkinan akan mengabaikan isterinya juga. Ketiga: Ciri Kepimpinan. Lelaki – yakni suami – ialah pemimpin dalam sebuah institusi keluarga. Allah menyatakan tanggungjawab ini: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan.” [al-Nisa’ 4:36] Maka hendaklah anda memerhatikan ciri-ciri kepimpinan calon suami anda. Berikan dia satu senario dan perhatikan bagaimana dia membuat keputusan. Berikan dia satu permasalahan dan perhatikan bagaimana dia menyelesaikannya. Berikan dia satu perancangan dan perhatikan bagaimana dia mengaturnya. Berikan dia satu amanah dan perhatikan bagaimana dia bertanggungjawab ke atasnya. Berkenaan ciri kepimpnan ini, hendalah diketahui bahawa kebanyakan lelaki masa kini ketandusan ciri kepimpinan. Ini kerana kebanyakan ibubapa mendidik anak lelaki dengan cara membiarkan mereka bermain di luar rumah sesuka hati manakala anak perempuan dididik sikap tanggungjawab menguruskan adik-adik dan pelbagai urusan lain. Hasilnya, kebanyakan wanita bersikap dewasa dan bertanggungjawab manakala kebanyakan lelaki bersikap “sesuka hati” dan tidak memiliki hala tuju yang tertentu. Berpijak atas sejarah pendidikan ini, maka janganlah mengharapkan calon suami memiliki ciri kepimpinan yang baik. Boleh dijangkakan dia lemah dalam bab ini, maka anda boleh memainkan peranan menyedarkannya dari tidur yang lena. Berikan dia masa dan ruang untuk meningkatkan ciri kepimpinannya. Keempat: Kewangan. Suami bertanggungjawab ke atas kewangan (nafkah) isterinya. Rasulullah mengingatkan para suami: “Bertaqwalah kepada Allah berkenaan isteri-isteri kalian….mereka memiliki hak di atas kamu, iaitu nafkah dan pakaian pada kadar yang berpatutan.” [Shahih Muslim, no: 2137] Perlu dibezakan, tanggungjawab kewangan suami ke atas isteri bukanlah bererti suami mesti kaya. Tidak ada manfaat memiliki suami yang kaya tetapi kedekut, suami yang berharta tetapi tidak memberi nafkah, suami yang berstatus tinggi tetapi masih meminta duit isteri. Akan tetapi yang penting lagi bermanfaat ialah suami yang sedar tanggungjawabnya untuk memberi nafkah kepada isteri pada kadar yang dia mampu. Perlu juga ditekankan, suami tetap wajib memberi nafkah kepada isteri sekalipun isteri memiliki harta atau pendapatan sendiri. Suami tidak boleh mengabaikan tanggungjawabnya memberi nafkah kepada isteri yang kaya atau berpendapatan, juga tidak boleh memaksa isteri mengeluarkan belanja untuk menampung kewangan keluarga. Isteri dibolehkan mengeluarkan belanja atas pilihan dirinya secara rela, bukan paksaan. Kelima: Akhlaknya. Ciri kelima yang tidak kurang penting ialah akhlak calon suami. Rasulullah menekankan: “Sesungguhnya tidaklah sikap santun terdapat pada sesuatu melainkan ia menghiasinya dan tidaklah ia (sikap santun) tercabut dari sesuatu melainkan ia memburukkannya.” [Shahih Muslim, no: 2594] Cara penampilan, kekemasan pakaian, arah pandangan, bahasa percakapan, kesungguhan mendengar, kejujuran mengaku salah, rendah diri menerima teguran, sabar terhadap apa yang tidak diingini, tenang dalam suasana marah, senyum dalam suasana tenang dan tegas dalam suasana dizalimi, semuanya adalah akhlak mulia yang perlu diperhatikan. Jangan sekadar memerhatikan akhlak calon suami kepada anda kerana lazimnya ia mestilah baik. Akan tetapi perhatikan akhlak dia kepada orang lain seperti ahli keluarga, rakan kerja, peniaga buah dan pelayan restoran. Dengan cara ini anda dapat bezakan sama ada akhlak baik yang ditunjukkan calon suami kepada anda adalah tulen atau pura-pura. |
Ciri-Ciri Isteri Pilihan
salinan semata2 :
Ditulis oleh Kapten Hafiz Firdaus Abdullah |
Friday, 11 February 2011 |
Jika sebelum ini kita telah mengupas ciri-ciri suami pilihan, maka kali ini kita akan mengupas pula ciri-ciri isteri pilihan. Artikel ini ditujukan kepada bakal suami tentang apakah ciri-ciri isteri yang patut dia pilih, juga kepada bakal suami yang sudah ada calon isteri, maka ciri-ciri apakah yang patut dia didik calon isterinya itu. Tidak ketinggalan kepada wanita atau bakal isteri, ciri-ciri apakah yang sepatutnya dia melengkapi dirinya. Pertama: Agama. Ciri pertama yang penting ialah agama. Allah berfirman dengan membuat perbandingan: Dalam perbandingan di atas, Allah menerangkan bahawa seorang wanita yang berstatus rendah, amat rendah sehingga ke tahap budak hamba, adalah lebih baik asalkan dia beriman kepada Allah (mukminat). Justeru yang membezakan ciri baik dan buruk bukanlah kecantikan atau daya tarikan, tetapi nilai agama seorang wanita. Perhatikan juga bahawa Allah tidak menyebut wanita Islam (Muslimat) tetapi menyebut wanita beriman (Mukminat). Ini kerana tahap seorang Mukminat lebih tinggi dari tahap seorang Muslimat. Maka untuk ciri pertama ini, ciri isteri pilihan bukanlah sekadar muslimat yang biasa-biasa tetapi muslimat yang memiliki ilmu agama, beriman dengan teguh dan menterjemahkan ilmu dan keimanannya kepada amal shalih sehari-harian. Berkenaan ciri agama ini, Rasulullah juga pernah bersabda: “Seorang wanita dinikahi kerana empat sebab: hartanya, keluarganya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah kerana agamanya, jika tidak kamu akan rugi.” [Shahih al-Bukhari, no: 4700] Kedua: Cantik. Jangan terperanjat jika Islam mementingkan ciri kecantikan kepada seorang isteri. Rasulullah pernah bersabda: “Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan.” [Shahih Muslim, no: 131] Kecantikan sebegitu penting sehingga Rasulullah menganjurkan seorang lelaki untuk melihat wanita pilihannya sebelum pergi melamar atau meminang. Baginda bersabda: “Apabila salah seorang dari kalian melamar wanita, maka selagi dia boleh melihat apa yang dapat mendorongnya untuk menikahinya, maka lakukanlah ia.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 2082] Maksud kecantikan di sini ialah apa yang tulen, bukan kecantikan palsu umpama penggunaan alat solek. Bukan juga kecantikan yang menelan kos yang tinggi seperti pembedahan plastik, dandanan rambut di salon terkenal, penurunan berat badan di pusat-pusat yang diragui keberkesanannya dan pakaian fesyen terkini di butik yang berjenama. Justeru mana-mana wanita yang ingin diperisterikan, bakal menjadi isteri dan sudah menjadi isteri, hendaklah menjaga kecantikan mereka dengan gizi pemakanan yang sihat, senaman dan keyakinan diri. Yakinlah bahawa semua wanita ciptaan Allah adalah cantik, hanya kecantikan itu akan dikecapi oleh lelaki yang tentu saja berbeza citarasanya antara satu dengan yang lain. Ketiga: Menyenangkan Suami. Rasulullah pernah ditanya tentang ciri-ciri isteri yang baik. Baginda menjawab: “Wanita yang membahagiakan (suaminya) jika dipandang, mentaatinya jika diperintahkan dan tidak menyelisihi berkenaan dirinya dan hartanya dengan apa yang tidak disukai (oleh suami).” [Shahih Sunan al-Nasa’e, no: 3231] Ciri seorang isteri pilihan ialah dia memberi ketenangan, kegembiraan dan kebahagiaan apabila saja suami melihatnya. Jika suami menyuruh dia melakukan sesuatu, dia akan melakukannya sekadar yang mampu dengan syarat suruhan itu selari dengan syari’at Islam. Jika bertentangan, maka isteri tidak perlu taat. Namun berbincanglah dengan suami secara hikmah kerana mungkin suami tidak tahu mengenainya. Selain itu isteri tidak akan menyelisihi, apatah lagi bertengkar atau memarahi, jika apa yang disukainya dibenci pula oleh suami. Ertinya, isteri berusaha untuk menyelaraskan kesukaannya dengan citarasa suami. Inilah yang dinamakan sehati, sejiwa. Di sini mungkin ada yang bertanya, bahawa kenapa isteri mesti bersikap sehingga ke tahap demikian kepada suaminya? Apakah isteri tidak boleh bermuka muram, enggan taat dan memiliki pilihan tersendiri? Terhadap persoalan seperti ini atau yang seumpama, para isteri hendaklah sedar bahawa semua kebaikan yang dilakukan kepada suaminya, ia adalah ibadah kepada Allah. Dalam erti kata lain, suami merupakan sarana atau jalan untuk isteri beribadah kepada Allah. Perlu diingatkan bahawa ibadah bukan sahaja solat, puasa dan zikir, tetapi berbuat baik kepada suami sebagaimana dalam hadis di atas. Keempat: Pandai Mendidik Anak-Anak. Tanggungjawab suami ialah di luar rumah mencari nafkah untuk isteri dan anak-anak. Tanggungjawab isteri pula di dalam rumah mendidik anak-anak dan menjaga rumah. Maka atas dasar pembahagian tugas seperti ini, Rasulullah bersabda: “Sebaik-baik wanita Quraisy adalah yang paling lembut dan simpati pada anak pada masa kecilnya dan paling boleh menjaga harta suaminya.” [Shahih al-Bukhari, no: 4692] Mungkin ada pula yang bertanya, bahawa isteri juga bekerja di luar rumah. Maka kenapa mereka dipertanggungjawabkan untuk urusan anak-anak dan penjagaan rumah? Jawapannya, pekerjaan di luar rumah tidak diwajibkan oleh Islam ke atas isteri. Jika isteri bekerja di luar rumah, maka ia adalah tanggungjawab tambahan yang dipilih oleh isteri itu sendiri. Jika isteri beralasan perlu mencari sumber kewangan tambahan untuk seisi keluarga, maka perlu ditanya kembali: “Apakah manusia pernah berkecukupan dalam urusan kewangan?” sumber : hafizfirdaus.com |
7 TIPUDAYA SYAITAN KE ATAS UMAT ISLAM
BAB KELIMA: LIMA STRATEGI MELAWAN SYAITAN.
Setelah mempelajari berkenaan syaitan dari pelbagai sudut, kini tiba masanya untuk kita belajar bagaimana untuk melawan syaitan. Caranya tidak susah, hanya lima strategi yang perlu dipelajari dan dilakukan:
1. Ikhlas Dalam Beragama.
2. Takut Kepada Allah.
3. Jangan Ikut syaitan.
4. Berjamaah.
5. Zikir dan Doa.
Strategi # 1: Ikhlas Dalam Beragama.
Apabila iblis berjanji kepada Allah untuk menyesat, mengkafir, memusyrik dan menjadikan umat Islam ahli neraka, iblis dengan sendirinya mengakui bahawa ia tidak dapat melaksanakan janji tersebut kepada satu golongan orang, iaitu mereka yang ikhlas. Perhatikan ayat-ayat berikut:
Iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Jika demikian,
berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangkitkan (Hari Kiamat).”
Allah berfirman: “Dengan permohonanmu itu,
maka sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh.
Hingga ke hari - masa yang termaklum.”
Iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat,
(maka) demi sesungguhnya aku akan memperindahkan (segala jenis kemungkaran)
kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini
dan aku akan menyesatkan mereka semuanya.
Kecuali hamba-hamba-Mu di antara mereka yang ikhlas.”
[al-Hijr 15:36-40]
Iblis mengulangi pengecualian ini dalam ketika yang lain:
“Kecuali hamba-hamba-Mu di antara mereka yang ikhlas.”
Dalam dua ayat di atas, syaitan telah membongkarkan rahsianya yang amat penting. Dalam melaksanakan perjanjian dan permusuhannya kepada umat Islam sehingga Hari Kiamat, syaitan hanya tertahan kepada satu golongan orang. Mereka itu ialah orang-orang yang ikhlas dalam beragama.
Apakah yang dimaksudkan dengan ikhlas? Ia adalah melakukan sesuatu semata-mata kerana Allah. Saya yakin para pembaca sekalian sebelum ini telah mengetahui tentang ikhlas dalam solat, ikhlas dalam berpuasa dan ikhlas dalam berzikir. Ia bererti mendirikan solat kerana Allah dan bukannya kerana emak mertua yang datang melawat. Ia bererti berpuasa kerana Allah dan bukannya kerana mengelak dari disindir oleh pelajar-pelajar di kolej. Ia bererti berzikir kerana Allah dan bukannya kerana ingin menunjukkan sifat wara’ kepada rakan-rakan di pejabat.
Ada pun ikhlas yang dikecualikan oleh syaitan, maka ia adalah keikhlasan yang berlaku dalam konteks yang lebih besar. Ia adalah keikhlasan yang melibatkan keseluruhan agama dan bukan sekadar amalan-amalan tertentu di dalam agama. Ertinya, kita beragama, memperjuangkan agama, membela agama dan melakukan kerja agama semuanya kerana Allah.
Pada masa kini keikhlasan kerana agama amat sukar untuk ditemui. Di sana-sini, kita tidak akan menemui orang yang memiliki penghayatan agama melainkan dia melakukannya kerana tuan gurunya, kedudukannya, alirannya atau jamaahnya. Yang dimaksudkan dengan jamaah ialah parti, persatuan, pertubuhan dan organisasi.
Maka dari sini, strategi # 1 untuk melawan syaitan ialah ikhlas dalam beragama. Hendaklah kita merenung kembali tujuan kita beragama. Seandainya ia 100% kerana Allah, maka peliharalah keikhlasan tersebut. Jika belum mencapai 100% kerana Allah, maka perbetulkanlah kerana syaitan akan menyelit masuk dengan segala tipu dayanya dalam kekurangan tersebut.
Strategi # 2: Takut Kepada Allah.
Sekali pun syaitan dan segala ciri dan tipu dayanya kelihatan hebat, ia memiliki satu kelemahan: Ia takut kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Kelemahan ini diakuinya sendiri, sebagaimana yang dapat kita lihat pada ayat berikut:
Dan (ingatlah) ketika syaitan memperindahkan kepada mereka
amalan (mungkar) mereka serta menghasut mereka dengan berkata:
“Pada hari ini tidak ada sesiapa pun dari umat manusia
yang dapat mengalahkan kamu dan sesungguhnya aku adalah pelindung dan penolong kamu.”
Maka apabila kedua-dua pihak (angkatan tentera Islam dan musyrik)
masing-masing kelihatan (berhadapan),
syaitan berundur ke belakang sambil berkata:
“Aku berlepas diri dari kamu, kerana aku dapat melihat
apa yang kamu tidak dapat melihatnya; sesungguhnya aku takut kepada Allah
dan Allah sangatlah berat azab seksa-Nya.”
[al-Anfal 8:48]
Ayat di atas merujuk kepada peristiwa Perang Badar. Sebelum peperangan, syaitan menghasut segelintir umat Islam dengan sikap riya’ dan hebat. Akan tetapi apabila saja pasukan umat Islam berhadapan dengan musuh, syaitan mengundurkan diri sambil berkata: “Aku berlepas diri dari kamu, kerana aku dapat melihat apa yang kamu tidak dapat melihatnya; sesungguhnya aku takut kepada Allah dan Allah sangatlah berat azab seksa-Nya.”
Oleh kerana itu janganlah kita takut kepada syaitan tetapi takutlah kepada Allah:
Sesungguhnya yang demikian itu ialah syaitan yang menakut-nakutkan (kamu terhadap)
penolong-penolongnya (kaum kafir musyrik).
Oleh itu janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepada-Ku,
jika betul kamu orang-orang yang beriman.
[‘Ali Imran 3:175]
Takut kepada Allah bukanlah bererti menjauhkan diri daripada Allah, tetapi sebaliknya semakin menghampiri-Nya dan semakin meneguhkan keimanan kepada-Nya. Ini dilakukan dengan memuliakan al-Qur’an, menghormati Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, mengunggulkan wahyu di atas akal, mentaati perintah larangan dalam al-Qur’an dan al-Sunnah, berkeyakinan hanya Allah yang dapat memberi manfaat atau mudarat, bertawakkal kepada Allah dan mencari keredhaan Allah dalam segala pemikiran serta perbuatan.
Sesungguhnya syaitan itu tidak mempunyai sebarang kekuasaan
terhadap orang-orang yang beriman
dan yang bertawakkal kepada Tuhan mereka.
Sesungguhnya kekuasaan syaitan itu hanyalah terhadap orang-orang
yang menjadikan ia pemimpin mereka, dan orang-orang yang dengan sebab hasutannya
melakukan syirik kepada Allah.
[al-Nahl 16:99-100]
Jika kita takut kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala, maka syaitan akan takut dari mengganggu kita. Sebaliknya jika kita tidak takut kepada Allah, maka syaitan juga tidak akan takut dari mengganggu kita.
Sebagai contoh, cara sebenar untuk memagar rumah ialah membaca Basmalah setiap kali memasuki rumah dan ketika hendak menutup pintu. Kemudian hendaklah para penghuni rumah beristiqamah dengan amalan-amalan yang menepati al-Qur’an dan al-Sunnah seperti pergi solat berjamaah, membaca al-Qur’an khasnya surah al-Baqarah dan melayani ahli keluarga dengan baik. Pada waktu yang sama jangan dilakukan perkara-perkara mungkar di dalam rumah. Cara ini akan menakutkan syaitan dari memasuki rumah dan mengganggu para penghuninya.
Contoh lain, jika seorang yang dengki mencabar untuk menyihir anda, jangan takut kepada sihir tetapi takutlah kepada Allah. Sihir adalah kerja syaitan dan ia hanya mampu melakukannya jika anda takut kepadanya. Sebaliknya jika anda takut kepada Allah, syaitan juga takut kepada anda dan tidak akan dapat melakukan sihir tersebut. Diulangi bahawa takut kepada Allah bererti yakin sepenuhnya bahawa hanya Allah yang dapat memberi manfaat atau mudarat. Merujuk kepada perbuatan sihir, ia tidak akan memberi mudarat melainkan dengan izin Allah:
Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua
(Harut dan Marut) ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya,
padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat
(atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah.
[al-Baqarah 2:102]
Seandainya sihir tersebut benar-benar berlaku, maka ia bukanlah kerana kekuasaan syaitan tetapi kerana kehendak Allah yang ingin menguji para hamba yang dicintai-Nya. Diulangi hadis Rasulullahshallallahu 'alaihi wasallam:
إِنَّ عِظَمَ الْجَزَاءِ مَعَ عِظَمِ الْبَلاَءِ وَإِنَّ اللَّهَ إِذَا أَحَبَّ قَوْمًا ابْتَلاَهُمْ فَمَنْ رَضِيَ
فَلَهُ الرِّضَا وَمَنْ سَخِطَ فَلَهُ السَّخَطُ.
Sesungguhnya besarnya ganjaran berkadar terus dengan besarnya bala’.
Sesungguhnya jika Allah mencintai satu kaum, Dia menurunkan bala’ kepada mereka.
Sesiapa yang redha maka Allah redha kepadanya
Strategi # 3: Jangan Mengikuti Syaitan.
Strategi ketiga ialah menahan diri dari mengikuti syaitan. Dalam strategi # 2 telah dikemukakan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
Sesungguhnya syaitan itu tidak mempunyai sebarang kekuasaan
terhadap orang-orang yang beriman dan yang bertawakkal kepada Tuhan mereka.
Sesungguhnya kekuasaan syaitan itu hanyalah terhadap
orang-orang yang menjadikan ia pemimpin mereka,
dan orang-orang yang dengan sebab hasutannya
melakukan syirik kepada Allah.
[al-Nahl 16:99-100]
Dalam ayat yang lain Allah berfirman:
Telah ditetapkan kepada (tiap-tiap) syaitan itu,
bahawa sesiapa yang menjadikannya pemimpin,
maka sesungguhnya ia akan menyesatkannya
dan memberi hidayah kepada azab neraka.
[al-Hajj 22:04]
Dalam dua ayat di atas, Allah menerangkan bahawa kekuasaan syaitan hanyalah terhadap orang-orang yang menjadikan ia sebagai pemimpin. Dalam erti kata lain, syaitan hanya mampu mengganggu orang-orang yang mengikutinya. Oleh kerana itulah dalam banyak ayat yang lain, Allah melarang kita dari menjadi pengikut syaitan. Ayat-ayat yang dimaksudkan ialah:
Allah berfirman (kepada iblis):
“Keluarlah engkau dari Syurga sebagai makhluk yang terhina serta terusir.
Sesungguhnya sesiapa di antara mereka (manusia) yang mengikutimu,
tetaplah aku akan memenuhi neraka jahanam dengan (golongan) kamu semuanya.
[al-A’raaf 7:18]
Allah berfirman (kepada iblis):
“Sesungguhnya hamba-hamba-Ku, tidaklah ada bagimu sebarang kuasa
untuk menyesatkan mereka kecuali sesiapa yang mengikutimu
dari orang-orang yang sesat (dengan pilihannya sendiri).”
[al-Hijr 15:42]
Allah berfirman (kepada iblis): “Pergilah (lakukanlah apa yang engkau rancangkan)!
Kemudian siapa yang mengikutimu di antara mereka (manusia),
maka sesungguhnya neraka Jahannamlah
balasan kamu semua, sebagai balasan yang cukup.”
[al-Isra’ 17:63]
Secara terperinci, yang dimaksudkan ialah jangan mengikuti jejak langkah syaitan:
Dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan;
kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.
Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji,
dan (menyuruh) supaya kamu berkata (dusta) terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui.
[al-Baqarah 2:168-169]
Dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan;
kerana sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.
[al-An’aam 6:142]
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan;
dan sesiapa yang menurut jejak langkah syaitan,
maka sesungguhnya syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya)
melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar.
[al-Nur 24:21]
Apakah jejak langkah syaitan yang Allah Subhanahu wa Ta'ala melarang kita dari mengikutinya? Ia adalah apa jua yang berkaitan dengan syaitan. Dengan merujuk dari awal buku ini, jejak langkah tersebut dapat diringkaskan sebagai:
Jangan mengikuti jejak langkah syaitan yang takbur terhadap perintah Allah untuk sujud kepada Adam. Takbur ialah sikap ujub, menghina orang lain, mengunggulkan akal di atas wahyu dan mempersoalkan perintah Allah.
Lawan kepada sikap takbur ialah tawadhu’, iaitu rendah diri. Maka setiap kali apabila kita membaca atau mendengar “Firman Allah…” dan “Sabda Rasulullah…”, janganlah takbur. Sebaliknya rendahkanlah diri untuk mentaati dan melaksanakannya sesempurna mungkin. Semua ini dilakukan tanpa mengira siapa yang menyampaikan “Firman Allah…” dan “Sabda Rasulullah…” tersebut atau sama ada “Firman Allah…” dan “Sabda Rasulullah…” tersebut sesuai dengan kehendak kita atau tidak.
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
(Yang demikian) kerana Allah hendak menjadikan hasutan syaitan itu
sebagai satu fitnah cubaan bagi orang-orang yang ada penyakit (takbur)
dalam hati mereka dan yang hatinya keras membatu;
dan sesungguhnya mereka yang zalim itu sentiasa berada dalam pertentangan
yang jauh dari kebenaran.
Dan juga supaya orang-orang yang beroleh ilmu mengetahui
bahawa ayat-ayat keterangan itu benar dari Tuhanmu
lalu mereka beriman kepadanya sehingga tunduk taatlah hati mereka mematuhinya;
dan sesungguhnya Allah sentiasa memimpin orang-orang yang beriman
ke jalan yang lurus.
[al-Hajj 22:53-54]
Sebagai contoh apabila membaca firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman “Qishash” dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh. [al-Baqarah 2:178], jangan takbur terhadapnya dengan membuat takwilan: “Itu hukum zaman unta, sekarang zaman kereta kita guna hukum penjara sahaja!”[3] Kemudian apabila mendengar hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:
أَلاَ مَنْ وَلِيَ عَلَيْهِ وَالٍ فَرَآهُ يَأْتِي شَيْئًا مِنْ مَعْصِيَةِ اللَّهِ
فَلْيَكْرَهْ مَا يَأْتِي مِنْ مَعْصِيَةِ اللَّهِ وَلاَ يَنْزِعَنَّ يَدًا مِنْ طَاعَةٍ.
Ketahuilah! Sesiapa yang dipimpin oleh seorang pemimpin lalu dia melihat sesuatu kemaksiatan kepada Allah (yang dilakukan oleh pemimpin itu), maka bencilah kemaksiatan kepada Allah tersebut. Akan tetapi jangan menarik ketaatannya (kepada pemimpin itu).[4], jangan takbur dengan menafikannya seraya berkata: “Pemimpin sekarang tidak menjalankan hukumanQishash, maka tidak perlu taat setia kepadanya!” Ini kerana berdasarkan hadis di atas dan banyak lain yang seumpama, kita hanya dibolehkan membenci kemaksiatan pemimpin tersebut yang tidak menjalankan hukuman Qishash. Ia tidak bererti kebolehan untuk menarik ketaatan darinya secara keseluruhan.[5]
Hendaklah sedaya mungkin kita menjauhi ciri-ciri syaitan yang telah dikemukakan dalam Bab Ketiga seperti:
1. Jangan menguap. Jika tidak dapat menahannya, jangan mengeluarkan bunyi ketika menguap.
2. Jangan makan dan minum dengan tangan kiri. Apa jua perkakas yang digunakan untuk makan, hendaklah menggunakan tangan kanan.
3. Jangan membiarkan makanan tersisa, sama ada di pinggan atau yang terjatuh.
4. Jangan membazir. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman, maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan. [al-Isra’ 17:27] Membazir ialah melakukan perkara secara sia-sia tanpa mengira sama ada sedikit atau banyak.
Sebagai contoh, orang yang tidur sehingga lewat pagi telah membazir masanya sekali pun dia memiliki masa lapang pada keseluruhan hari tersebut. Orang yang menghisap rokok telah membazir wang dan kesihatannya sekali pun dia hanya menghisap sebatang dalam seminggu.
Orang yang melakukan pembaziran, dia adalah saudara syaitan. Ada pun alasan-alasan seperti tidur yang lebih pada hujung minggu hanyalah untuk merehatkan badan atau merokok itu menenangkan fikiran, mencegah sifat mengantuk dan meramaikan kawan, ia hanyalah alasan-alasan dari syaitan untuk memperindahkan perkara mungkar (Tipu Daya # 2).
5. Jangan minum secara berdiri.
6. Jangan tidur sepanjang malam sehingga matahari naik. Hendaklah bangun ketika azan untuk pergi bersolat Subuh berjamaah. Selepas itu disambung terus dengan aktiviti yang bermanfaat sehinggalah waktu siang kerana waktu pagi adalah waktu yang diberkati. Rasulullahshallallahu 'alaihi wasallam pernah berdoa:
اللَّهُمَّ بَارِكْ لأُمَّتِي فِي بُكُورِهَا.
Setelah itu hendaklah tidur sebentar pada waktu siang kerana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berpesan:
قِيْلُوْا، فَإِنَّ الشَّيَاطِيْنَ لاَ تَقِيْلُ.
Kemudian bangun melakukan aktiviti yang bermanfaat hingga waktu Isya’. Ditegah daripada bersembang-sembang kosong selepas waktu Isya’. Abu Barzah radhiallahu 'anh menerangkan bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam membenci tidur sebelum waktu Isya’ dan bersembang-sembang selepas waktu Isya’.[9]
Hendaklah tidur awal agar mudah membuka tiga simpulan syaitan yang menghalang kita dari bangun malam berqiamulail. Bahkan dengan terbukanya tiga simpulan tersebut, kita akan dapat memulakan hari esoknya dengan bersemangat, bermotivasi dan ceria. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda berkenaan tiga simpulan ini:
يَعْقِدُ الشَّيْطَانُ عَلَى قَافِيَةِ رَأْسِ أَحَدِكُمْ إِذَا هُوَ نَامَ ثَلاَثَ عُقَدٍ يَضْرِبُ كُلَّ عُقْدَةٍ مَكَانَهَا عَلَيْكَ لَيْلٌ طَوِيلٌ فَارْقُدْ.
فَإِنْ اسْتَيْقَظَ فَذَكَرَ اللَّهَ انْحَلَّتْ عُقْدَةٌ. فَإِنْ تَوَضَّأَ انْحَلَّتْ عُقْدَةٌ. فَإِنْ صَلَّى انْحَلَّتْ عُقَدُهُ كُلُّهَا.
فَأَصْبَحَ نَشِيطًا طَيِّبَ النَّفْسِ وَإِلاَّ أَصْبَحَ خَبِيثَ النَّفْسِ كَسْلاَنَ.
Syaitan mengikat di atas kepala seseorang kalian yang tidur dengan tiga simpulan
dan menjadikan setiap simpulan pada tempat yang sepatutnya, lalu berkata:
“Bagi kamu malam yang panjang, tidurlah!”.
Apabila orang itu bangun dan mengingati Allah, terbukalah satu simpulan.
Apabila orang itu berwudhu’, terbukalah satu lagi simpulan.
Apabila orang itu bersolat, terbukalah semua simpulan.
Maka pada pagi harinya diri orang tersebut bersemangat lagi ceria.
Sedangkan jika tidak (yakni semua simpulan masih terikat kerana tidak bangun malam)
7. Jangan memasuki rumah, menutup pintu rumah, makan, minum dan menutup bekas makanan serta minuman melainkan dengan membaca Basmalah.
8. Jangan melakukan sikap-sikap buruk seperti pemikiran yang sia-sia, melayan bisikan negatif, imaginasi yang buruk, malas, cemburu, marah, merungut, dengki, riya’, buruk sangka dan lain-lain.
9. Jangan menggunakan khidmat syaitan seperti berjumpa bomoh meminta ramalan, mencari barang hilang, meminta jampi-jampian dan menjatuhkan sihir kepada orang lain.
10. Jangan sengaja keluar rumah pada waktu senja.
11. Jangan membazir masa di pasar, pasaraya, pusat membeli belah, bursa saham dan tempat-tempat lain yang seumpama.
Hendaklah mengkaji secara teliti ketujuh-tujuh tipu daya syaitan dan menyemak sama ada ia memiliki kaitan dengan apa saja yang kita lakukan baik sebelum, semasa dan akan datang. Jika ia memiliki kaitan, segeralah menjauhkan diri darinya dan berilah amaran kepada orang lain.
Strategi # 4: Berjamaah.
Hendaklah kita berjamaah. Jamaah yang dimaksudkan bukanlah sesuatu parti, persatuan, pertubuhan atau organisasi, tetapi keseluruhan umat Islam sebagai satu jamaah. Hendaklah kita semua bersatu sebagai umat Islam. Tidak ada yang difikirkan, tidak ada yang diusahakan, tidak ada yang ditujukan kesetiaan, tidak ada yang diberikan pembelaan, tidak ada yang ditumpahkan perasaan cinta dan akrab melainkan sesama umat Islam seluruhnya.
Syaitan memiliki peranan yang utama dalam urusan berjamaah atau berpecah. Rasulullahshallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
فَإِنَّ يَدَ اللهِ مَعَ الْجَمَاعَةِ، وَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ مَنْ فَارَقَ الْجَمَاعَةَ يَرْتَكِضُ.
Sesungguhnya tangan Allah bersama al-Jama‘ah dan sesungguhnya
عَلَيْكُمْ بِالْجَمَاعَةِ وَإِيَّاكُمْ وَالْفُرْقَةَ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ الْوَاحِدِ
وَهُوَ مِنْ لإِثْنَيْنِ أَبْعَدُ مَنْ أَرَادَ بُحْبُوحَةَ الْجَنَّةِ فَلْيَلْزَمْ الْجَمَاعَةَ.
Wajib ke atas kalian berjamaah. Berhati-hatilah dari perpecahan
kerana sesungguhnya syaitan bersama orang yang bersendirian (yakni berpecah)
dan menjauhi orang yang berdua (yakni berjamaah).
Sesiapa yang mengingini tempat di tengah-tengah syurga,
Seorang sahabat Nabi bernama Abu Tsa’labah al-Khusyani radhiallahu 'anh menceritakan bahawa pada satu masa, apabila orang ramai bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang berada dalam satu perjalanan singgah beristirehat, mereka berpecah-pecah menuju ke lembah-lembah dan lereng-lerang bukit. Melihat yang sedemikian, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
إِنَّ تَفَرُّقَكُمْ فِي هَذِهِ الشِّعَابِ وَالأَوْدِيَةِ إِنَّمَا ذَلِكُمْ مِنْ الشَّيْطَانِ.
Sesungguhnya berpecah-pecahnya kalian ke lembah-lembah dan lereng-lerang bukit
tidak lain adalah perbuatan syaitan.
Abu Tsa’labah al-Khusyani meneruskan bahawa setelah itu
tidaklah mereka singgah di satu tempat
melainkan yang satu bergabung dengan yang lain,
seolah-olah jika dibentangkan sehelai kain,
Berdasarkan hadis-hadis di atas, dapat kita ketahui bahawa syaitan benci kepada jamaah dan menyukai perpecahan. Ia akan sentiasa mencari jalan agar kita umat Islam sentiasa berpecah kepada pelbagai kumpulan dan aliran, kemudiannya saling bermusuhan serta ujub di antara satu sama lain. Bahkan syaitan juga akan mencari jalan agar ahli-ahli dalam satu kumpulan atau aliran saling berpecah, saling bermusuhan dan saling bermegah.
Oleh itu hendaklah kita sentiasa berjamaah dengan cara:
Pertama:
Menyedari bahawa berjamaah adalah salah satu asas terpenting agama. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam),
dan janganlah kamu bercerai-berai.
[‘Ali Imran 3:103]
Oleh itu janganlah asas ini diruntuhkan semata-mata kerana hal remeh atau kepentingan peribadi.
Kedua:
Menjauhi sikap buruk sangka dan sengaja mencari-cari kesalahan di antara sesama umat Islam. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan
kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa;
Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang;
dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.
Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati?
(Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.
(Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.
[al-Hujerat 49:12]
Seandainya berlaku salah faham atau terdengar berita yang kurang baik berkenaan sesama umat Islam, segeralah untuk mencari pencerahan (clarification) terhadapnya. Pada zaman ini kita memiliki pelbagai teknologi canggih seperti emel dan sistem pesanan ringkas (SMS) untuk melakukan pencerahan secara segera. Manfaatkanlah segala sarana yang ada, jangan dilengah kerana syaitan akan mencelah untuk membesarkan sesuatu yang sebenarnya kecil. Sila rujuk semula hadis pertama ketika mengupas Ciri syaitan # 15.
Jika tidak dapat melakukan pencerahan, maka hendaklah kita berbaik sangka kepadanya. ‘Umar al-Khaththab radhiallahu ‘anh berkata: Janganlah kamu berprasangka terhadap kalimat yang keluar dari saudara kamu yang beriman kecuali dengan prasangka yang baik selama kamu dapati kemungkinan untuk memahaminya dengan pemahaman yang baik.[15]
Seorang tokoh generasi awal Islam, Abu Qilabah (104H) rahimahullah berpesan: Apabila sampai kepada kamu berita tentang saudara kamu yang tidak menyenangkan, maka carilah untuk dia sesuatu alasan dengan kesungguhan usaha kamu. Dan jika tidak menemuinya, maka katakanlah kepada diri kamu: “Barangkali dia mempunyai alasan yang aku tidak mengetahuinya”.[16]
Ketiga:
Bersikap adil dalam menilai sesama muslim. Jangan mencari-cari kesalahannya atau membesar-besarkan sesuatu yang sebenarnya kecil. Jika ditemui sesuatu yang pada zahirnya kelihatan sebagai satu kesalahan, selidikilah ia. Ingat! Apabila Ahmad berkata Jamal salah, wujud empat kemungkinan:
1. Jamal memang salah.
2. Berlaku salah faham atau salah komunikasi antara Ahmad dan Jamal.
3. Ilmu Ahmad tidak meliputi ilmu Jamal.
4. Ahmad dengki kepada Jamal.
Lazimnya yang berlaku ialah kemungkinan dua, tiga dan empat. Oleh itu berlaku adillah kerana Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi
orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah,
lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu
terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan.
Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua)
kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa.
Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui
dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
[al-Maidah 5:08]
Keempat:
Menjauhi kedengkian, iaitu membenci sesuatu kebaikan yang ada pada saudaranya semuslim. Kedengkian adalah punca utama perpecahan sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Dan tiadalah umat tiap-tiap Rasul berpecah belah
(dalam menjalankan agama Allah) melainkan setelah sampai kepada mereka
ajaran-ajaran yang memberi mereka mengetahui
(apa yang benar dan apa yang salah); berlakunya (perselisihan yang demikian)
semata-mata kerana dengki sesama sendiri.
[al-Syura 42:14]
Sebegitu besar peranan kedengkian sebagai faktor utama perpecahan sehingga AllahSubhanahu wa Ta'ala mengajar kita doa untuk membersihkan kedengkian tersebut:
Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami
dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman,
dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan dengki
dan dendam terhadap orang-orang yang beriman.
Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan Rahmat.
[al-Hasyr 59:10]
Strategi # 5: Zikir.
Strategi yang kelima ialah zikir, iaitu mengingati Allah Subhanahu wa Ta'ala dengan cara yang disyari‘atkannya. Terdapat tiga jenis zikir untuk kita melawan syaitan, iaitu:
Pertama: Basmalah.
Apabila kita hendak memulakan apa jua urusan, mulailah dengan menyebut Bismillahi Rahmani Rahim. Sebelum ini telah dikemukakan banyak hadis-hadis yang mengajar kita membacaBasmalah apabila mula melakukan sesuatu perkara. Walaubagaimana pun membaca Basmalahtidak terhad kepada urusan-urusan memasuki rumah dan mengunci pintu sahaja. Oleh kerana syaitan turut serta dalam apa jua urusan yang kita buat, maka dengan itu kita mendahului semuanya dengan Basmalah. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
إِنَّ الشَّيْطَانَ يَحْضُرُ أَحَدَكُمْ عِنْدَ كُلِّ شَيْءٍ مِنْ شَأْنِهِ...
Basmalah juga disebut dalam pertengahan sesuatu urusan, khasnya apabila urusan tersebut tidak berlaku seperti mana yang kita hendaki. Janganlah menyebut “Cis!”, “Celaka!”, “Damn it!”atau apa-apa perkataan sumpahan yang lain, sebaliknya sebutlah Bismillahi Rahmani Rahim. Salah seorang sahabat Nabi menceritakan bahawa dia pernah membonceng di belakang Rasulullahshallallahu 'alaihi wasallam. Tiba-tiba haiwan tersebut tergelincir lalu dia bersumpah: “Celakalah syaitan!”
Mendengar yang sedemikian, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menegur:
لاَ تَقُلْ تَعِسَ الشَّيْطَانُ فَإِنَّكَ إِذَا قُلْتَ ذَلِكَ تَعَاظَمَ
حَتَّى يَكُونَ مِثْلَ الْبَيْتِ وَيَقُولُ بِقُوَّتِي وَلَكِنْ قُلْ بِسْمِ اللَّهِ
فَإِنَّكَ إِذَا قُلْتَ ذَلِكَ تَصَاغَرَ حَتَّى يَكُونَ مِثْلَ الذُّبَابِ.
Janganlah menyebut “Celakalah syaitan!” kerana apabila engkau mengatakannya,
syaitan akan membesar sehingga sebesar rumah dan berkata
“Demi kekuatanku!” Sebaliknya sebutlah “Bismillah!”
kerana apabila engkau mengatakannya syaitan akan mengecil
Kedua: Isti‘azah.
Isti‘azah ialah menyebut A‘uzubillahi minash syaitan nirrajim, yang bermaksud “Aku berlindung kepada Allah dari syaitan yang direjam”. Apabila saja kita merasai dihasut, dibisik atau diganggu oleh syaitan, maka sebutlah Isti‘azah. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari syaitan,
maka mintalah perlindungan kepada Allah,
sesungguhnya Allah Maha Mendengar,
lagi Maha Mengetahui.
Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa,
apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari syaitan,
mereka ingat (kepada Allah)
maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar).
Ketiga: Ayat dan surah tertentu dari al-Qur’an.
Basmalah dibaca sebelum sesuatu urusan, Isti‘azah dibaca apabila merasai gangguan syaitan ketika melakukan sesuatu urusan, maka zikir yang ketiga ialah melazimkan diri membaca beberapa ayat dan surah yang tertentu. Ayat dan surah yang dimaksudkan ialah:
Ayatul Kursi.
Ini merujuk kepada ayat 255 surah al-Baqarah. Hadis-hadis berkenaan keutamaan dan kemujaraban ayat ini untuk menghalau syaitan dan lain-lain makhluk ghaib boleh dirujuk dalamTafsir Ibn Katsir, tafsir kepada ayat 255 surah al-Baqarah. Ayatul Kursi ialah:
Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia,
Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhluk-Nya).
Yang tidak mengantuk usahkan tidur.
Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi.
Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisi-Nya
melainkan dengan izin-Nya.
Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka,
sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah
melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya).
Luasnya Kursi Allah meliputi langit dan bumi;
dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga
serta memelihara keduanya.
Dan Dia-lah Yang Maha Tinggi, lagi Maha Besar.
[al-Baqarah 2:255]
Surah al-Baqarah.
Surah al-Baqarah ialah surah yang kedua di dalam al-Qur’an. Berkenaan surah ini Rasulullahshallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
لاَ تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنْ الْبَيْتِ الَّذِي تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ.
Janganlah menjadikan rumah kalian seperti kawasan perkuburan.
Sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah
Surah al-Mu‘awwizatain.
Ini merujuk kepada dua surah terakhir di dalam al-Qur’an. Ia adalah pelindung kepada pelbagai jenis gangguan tanpa terhad kepada gangguan syaitan sahaja. Ia juga adalah pelindung dan penyembuh dari kerasukan dan sihir. Hadis-hadis berkenaan keutamaan dan kemujaraban surah al-Mu‘awwizatain boleh dirujuk dalam Tafsir Ibn Katsir, sebelum permulaan tafsir surah al-Falaq. Surah al-Mu‘awwizatain ialah:
Katakanlah: “Aku berlindung kepada (Allah)
Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk,
dari bencana makhluk-makhluk yang Dia ciptakan,
dan dari bahaya gelap apabila ia masuk,
dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus
pada simpulan-simpulan,
dan dari kejahatan orang yang dengki apabila dia melakukan dengkinya.”
[al-Falaq 113:1-5]
Katakanlah: “Aku berlindung kepada (Allah)
Pemulihara sekalian manusia,
yang menguasai sekalian manusia,
Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia,
dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam,
yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia,
(iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.”
[al-Nas 114:1-6]
Demikian tiga jenis zikir untuk melawan syaitan. Sebutlah ia, bacalah ia dengan penuh keyakinan dan penghayatan. Jangan dengan keraguan dan kelalaian. Ingin ditambah bahawa tiga jenis zikir di atas adalah umum untuk semua jenis gangguan syaitan dalam semua suasana. Sebagai tambahan terdapat beberapa zikir yang khusus diajar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam untuk kes-kes tertentu seperti memasuki tandas, keluar rumah untuk sesuatu perjalanan, apabila memasuki rumah yang kosong dan sebagainya.
Jika para pembaca memiliki kemampuan, amat dianjurkan untuk menghafal dan mengamalkan zikir-zikir tersebut. Walaubagaimana pun jika tidak mampu atau telah menghafal tetapi lupa, memadai membaca tiga zikir di atas yang umum untuk semua suasana. Terdapat banyak buku yang mengemukakan zikir-zikir untuk suasana yang khusus. Mana-mana buku yang menerangkan sumber hadis dan darjat bagi setiap zikir dapat dijadikan rujukan.
[1] Hasan: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 2396(Kitab al-Zuhud, Bab berkenaan sabar terhadap bala’).
[3] Lebih lanjut tentang hukuman Qishash dan lain-lain bentuk hukuman jenayah dalam Islam, rujuk risalah sayaBerkenalan Dengan Ciri-Ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah Dalam Hukuman Jenayah yang dimuatkan dalam bukuHimpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah (Buku 6) terbitan Jahabersa, Johor Bahru.
[4] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1855-2 (Kitab al-Imarah, Bab para imam yang baik dan buruk).
[5] Lebih lanjut berkenaan hukum politik Islam di sisi Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, sila rujuk buku saya Marilah Berkenalan Dengan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah terbitan Jahabersa, Johor Bahru.
[7] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 2606(Kitab al-Jihad, Bab berangkat pada waktu pagi).
[8] Sanad Hasan: Dikeluarkan oleh Abu Nu‘aim dan sanadnya dinilai hasan oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah, hadis no: 1647.
[9] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 568 (Kitab Mawaqit al-Solat, Bab berkenaan dibenci tidur sebelum Isya’).
[10] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 3269 (Kitab Bad’i al-Khalq, Bab sifat iblis dan tenteranya).
[12] Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Hibban dan dinilai sahih oleh Syu‘aib al-Arna’uth dalam semakannya ke atas Shahih Ibn Hibban, hadis no: 4577 (Kitab al-Siyar, Bab mentaati para imam).
[13] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 2165(Kitab al-Fitan, Bab berkenaan sentiasa berjamaah).
[14] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 2628(Kitab al-Jihad, Bab perintah agar para pejuang sentiasa berkumpul).
Lebih lanjut tentang hukum jamaah-jamaah yang ada di dunia Islam masa kini termasuk di Malaysia, rujuk risalah sayaPerkara Ke-12 Yang Mencemari Kemurnian Tauhid: Menjadikan Jamaah Sendiri Sebagai Agama yang dimuatkan dalam buku saya Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah (Buku 5) terbitan Jahabersa, Johor Bahru.
[15] Disebut oleh Ibn Kathir dalam Tafsir al-Qur‘an al-‘Adzim, jld. 4, ms. 193, (tafsir bagi ayat 49:12).
[16] Dikeluarkan oleh Abu Nu‘aim dalam Hilyah al-Auliya’, no: 2411 (Tabaqat Ahl al-Madinah: ‘Abd Allah bin Zaid al-Jarami).
[17] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2033-4 (Kitab al-Asyrabah, Bab disukai menjilat jari).
[18] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 4982(Kitab al-Adab, Bab selepas bab Larangan berkata “Celakalah diriku!”).
[19] Bagi bacaan Basmalah dan Isti‘azah, terdapat perbincangan di kalangan para ilmuan, adakah hanya dibacaBismillah atau dilanjutkan kepada Bismillahi Rahmani Rahim. Demikian juga, adakah hanya dibaca A‘uzubillahi minas syaitan atau dilanjutkan kepada A‘uzubillahi minas syaitan nirrajim. Setakat ini saya tidak menemui hujah yang cukup kuat untuk menguatkan salah satu dari keduanya. Maka saya membiarkannya terbuka. Wallahu ‘Alam.
[20] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 780 (Kitab Solat al-Musafirin…, Bab disukai melaksanakan solat sunat di rumah…).sumber : hafizfirdaus.com
Subscribe to:
Posts (Atom)